Terbit dalam majalah Nur Sept 2005
“Eleh.... bos tu kerja dia sign surat jer. Yang penat buat kerja, kita.”
Demikian antara rungutan sebahagian kakitangan. Benarkah kerja menandatangani surat, terutama bagi pihak syarikat itu kerja mudah? Masa mencipta tandatangan sendiri, tertanya-tanya juga masa tu apa perlunya tandatangan... malah di suatu tahap apabila banyak yang perlu ditandatangani, dicipta pula tandatangan ‘pendek’.
Tandatangan adalah lambang pertanggungjawaban. Jika ada persoalan berbangkit yang timbul, tuan punya tandatanganlah yang akan menanggung risiko dan menjawab segala persoalan tersebut. Mungkin dari istilah ‘tanggung’ dan ‘jawab’, terhasillah perkataan ‘tanggungjawab’. Wallahu alam...
Sikap bertanggungjawab adalah sikap yang dihormati tidak kira sebagai pemimpin, ketua, pengikut, kakitangan bawahan, suami, isteri, anak-anak, malah setiap manusia perlu mempunyai sikap bertanggungjawab. Di hari Mahsyar, setiap tanggungjawab akan dinilai. Seorang suami bertanggungjawab atas isteri dan anak-anak; seorang pemimpin akan ditanya soal kepimpinannya; dan demikianlah seterusnya. Selagi kita bernama manusia, kita tidak terlepas dari tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah di mukabumi.
Tidak menyalahkan orang lain atau keadaan
Pokok pangkal sifat bertanggungjawab ialah tidak menyalahkan orang lain apabila berlaku perkara yang sepatutnya dibawah pengendalian kita. Namun, menyalahkan orang lain atau keadaan adalah lumrah yang berlaku apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini. Misalnya, bila bahagian pemasaran tidak mencapai jangkaan, pasti staf-staf akan menjadi mangsa kemarahan Ketua Jabatan Pemasaran kerana nantinya dia sendiri akan dipersoalkan semasa mesyuarat pengurusan. Apabila putus cinta, yang salah adalah orang ketiga atau pasangannya. Bila berlaku masalah sosial, kerajaan, pihak guru atau sekolah, media massa, ibubapa, masyarakat sekeliling... semua saling salah menyalahkan. Yang tidak bersalah ialah pihak yang sedang membuat komen! Demikian jugalah senarionya dengan isu-isu lain.
Diri kita tanggungjawab kita
Ada pepatah mengatakan ‘jika setiap orang membersihkan halaman rumah masing-masing, seluruh negara akan bersih.’ Banyak masalah boleh diminimakan jika setiap individu bermula dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh dedikasi. Jika setiap manusia menjalankan tanggungjawab masing-masing pasti dunia ini akan aman, damai dan harmoni untuk dihuni. Suami menjalankan tanggungjawab terhadap isteri, isteri menunaikan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak, pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyat, majikan bertanggungjawb terhadap pekerja, pekerja menjalankan tanggungjawab terhadap majikan dan seterusnya.
Jika gagal dalam usaha, tumpukan kepada mencari di mana kita tersilap langkah supaya boleh diperbaiki – bukannya menuding jari dan menuduh orang lain yang telah ‘mensabotaj’ usaha kita. Kita bertanggungjawab terhadap kejayaan diri sendiri. Bila rumahtangga retak, yang utama ialah merenung ‘sumbangan’ kita terhadap keretakan tersebut. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kita bertanggungjawab terhadap kebahagiaan diri sendiri.
Menuding jari kepada orang lain atas peritiwa yang tidak dingini umpama memberikan kuasa kepada orang lain untuk menentukan perjalanan hidup kita seperti sebuah televisyen yang alat kawalan jauh atau remote control berada di tangan penonton. Inilah adalah sikap tidak ber-‘tanggung’-‘jawab’. Sikap ini tidak akan membawa kita ke mana-mana melainkan kegagalan dan kemurungan berpanjangan.
Remote control di tangan orang lain
Bayangkan jika remote control diri kita dikawal oleh orang lain... bila ditekan ‘rangkaian marah’, kita jadi marah; bila ditekan ‘rangkaian sedih’ kita jadi sedih; bila ditekan ‘rangkaian gagal’ kita kecewa kerana tidak bejaya mencapai harapan. Beginilah keadaan orang yang menyerahkan remote control hidupnya kepada orang lain dengan mengambil sikap tidak bertanggungjawab.
Bila remote control diri berada di tangan orang lain, kita menjadi manusia yang tidak berupaya, gagal, murung, sukar didekati dan seterusnya sukar mencari tempat di tengah masyarakat. Kehadiran atau ketiadaan kita di tengah manusia ramai tidak memberi apa-apa makna. Lebih parah lagi, jika menjadi sampah masyarakat. Inilah risiko dari sikap tidak bertanggungjawab.
Kebahagiaan kita tanggungjawab kita
Perkara utama yang menyebabkan kebahagiaan manusia ialah kasih sayang. Tidak peliklah jika sifat Ar Rahman dan Ar Rahim yang bermakna kasih sayang merupakan nama Allah atau Asma’ul Husna yang paling banyak disebut di dalam Al Qur’an. Tuhan Maha Adil dalam memberikan kasih sayang kepada seluruh makhluk-Nya. Namun mengapa ada yang merasakan dirinya sunyi dan ketandusan kasih sayang? Tuhan tidak pernah silap, yang silap atau salah adalah diri kita sendiri.
Seorang yang bertanggungjawab ke atas kebahagiaan diri sendiri tidak akan menyalahkan sesiapa, malah merenung jauh ke dalam diri sendiri apa yang perlu dilakukan. Jika tanggungjawab membahagiakan diri sendiri diserahkan kepada orang lain, mana mungkin kebahagiaan itu dimiliki sepenuhnya kerana mereka juga makhluk yang lemah seperti kita. Ambillah tanggungjawab membahagiakan diri sendiri sepenuhnya dengan memohon kasih sayang dari pemilik sifat kasih sayang, iaitu Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim. Fokuskan usaha untuk mengenal Allah, mempelajari ilmu tentang kunci kebahagiaan yang ditetapkan oleh Pemilik Kebahagiaan hakiki. Serahkan remote control di dalam pengendalian takdir Ilahi, berusahalah menurut ketetapan hukum-Nya – pasti kita akan bahagia!
Kejayaan kita tanggungjawab kita
Semua manusia ingin berjaya bukan sahaja kejayaan dunia tetapi juga kejayaan akhirat. Allah juga maha adil dalam memberikan kejayaan kepada setiap hamba-Nya di bidang masing-masing. Tanggungjawab kita adalah berusaha. Jangan sekali-kali serahkan kunci kejayaan di tangan orang lain kerana jika gagal, orang itu akan dipersalahkan.
Allah telah menyediakan segala khazanah di langit dan bumi untuk manusia berusaha... maka jika gagal, buatlah penilaian atau post-mortem di mana silapnya strategi perancangan dan aplikasinya. Tuhan tidak pernah mentakdirkan kegagalan hamba-Nya, malah awal pembentukan manusia di rahim ibu adalah kejayaan besar sperma merentasi perjalanan jauh untuk sampai kepada ovum sehingga terbentuklah janin kita di dalam rahim. Teruskanlah kejayaan demi kejayaan seterusnya, berusahalah, dan serahkanlah kunci kejayaan kepada Dia yang Maha Berkuasa.
Menyalahkan Tuhan - kemuncak sikap tidak bertanggungjawab
Menyalahkan keadaan atau menyalahkan keadaan adalah intipati sikap tidak bertanggungjawab. Jika sikap ini terus menjadi amalan, di suatu peringkat pasti manusia yang tidak bertanggungjawab akan menyalahkan Tuhan atas ketentuan takdir-Nya. Risiko terbesar yang perlu ‘ditanggung’ dan akan ‘dijawab’ akan berlangsung di Padang Mahsyar apabila penilaian amal dijalankan. Hasilnya ialah penderitaan dan kegagalan hakiki yang tidak mampu ditanggung oleh manusia di dalam Neraka. Semoga Allah melindungi kita dari siksaan sedemikian.
Di saat pengiraan amal, sikap tidak bertanggungjawab terakhir yang dilakukan oleh manusia ialah menyalahkan syaitan atas kederhakaan dirinya kepada Allah! Malangnya, syaitan dan Iblis berlepas tangan dan mengatakan manusia mengikutnya atas kerelaan sendiri – bukan dipaksa. Alangkah besar penyesalan ketika itu...
Allah sumber kekuatan untuk bertanggungjawab
Sebagai makhluk, memang kita serba lemah. Namun kita ada Tuhan yang Maha Gagah sebagai tempat bergantung. Maka laksanakanlah setiap tanggungjawab dari yang sekecil-kecilnya sehingga yang terbesar dengan memohon kekuatan dari Allah yang Maha Gagah.
Setiap kali kita menandatangi apa jua dokumen, setiap kali kita melakukan sesuatu, lakukanlah dengan penuh tanggungjawab. Elakkan menyalahkan keadaan ataupun menyalahkan orang lain. Semailah kasih sayang dan ukhuwah sesama manusia atas nama Ar Rahman dan Ar Rahim agar dapat berganding bahu dan tolong menolong dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Sebelum mahkamah Mahsyar bersidang, mulakan langkah di dunia agar kita dapat menjawab setiap persoalan atas tanggungjawab di dunia. Tanggunglah setiap amanah kerana kita pasti akan diminta untuk menjawabnya di akhirat kelak... Tuhan telah menyerahkan remote control di tangan kita, kenapa mesti diserahkan kepada orang lain?
No comments:
Post a Comment