HADIAHKAN SENYUMAN DARI HATI...
(Terbit dalam majalah Nur Mac 2006)
Antara yang selesa untuk dikenang apabila menaiki pesawat adalah senyuman dari pramugari dan pramugaranya. Hal yang sama apabila disambut dengan senyuman oleh penyambut tetamu di pusat peranginan atau hotel. Terasa kehadiran kita dihargai dan dialu-alukan. Lihat pula senyuman comel seorang bayi yang memberikan kita rasa yang sukar diungkapkan oleh kata-kata. Bayangkan senyuman ibu yang menyambut kita kembali ke kampung halaman setelah lama terpisah.
“Engkau senyum di depan saudaramu adalah sedekah.” Begitu pesan Rasulullah kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari..
Semua orang suka menerima senyuman, namun bukan semua orang mudah memberikan senyuman. Adakalanya amat sukar menggerakkan hujung bibir ke atas untuk menghadiahkan sebuah senyuman. Senyuman sememangnya bahasa universal, tanpa suara dan kata-kata tetapi kita faham bahawa ia membawa mesej persahabatan dan kemesraan. Di sebalik sebuah senyuman, walau hanya gerakan hujung bibir ke atas, tersirat seribu makna dan kekuatan tersendiri serta memberi kesan yang mendalam pergaulan seharian sesama manusia – ia boleh mengukuhkan persahabatan, persaudaraan dan pergaulan seharian dan dalam masa yang sama mungkin boleh menjadi punca keretakan.
Antara Senyum dan Sengih
Tersengih juga terhasil apabila hujung bibir digerakkan ke atas, namun hasilnya berbeza dengan senyuman. Jika senyum menyebabkan kita rasa gembira, sebaliknya sengih menyebabkan kita rasa tak selesa, malah kadang-kadang rasa rimas dan menyampah pula yang timbul. Sengih hanyalah sekadar ‘senyuman kosong’ yang kaku, tidak bermakna atau mungkin boleh digunakan istilah ‘senyuman yang disepah-sepahkan’ kerana tidak dihususkan untuk sesiapa. Sakitnya hati kita bila ada orang mengatakan kita “tersengih-sengih...” atau ‘kerang busuk’ .
Jika daya tarikan sebuah senyuman diumpamakan daya tarikan magnet, maka tersengih adalah umpama mendekatkan hujung magnet pada kutub yang sama – ia menolak antara satu sama lain. Seboleh mungkin, elakkanlah dari tersengih... dan banyakkanlah senyum
Senyum Berisi
Senyuman yang kita berikan kepada orang lain biarlah senyuman yang menggembirakan. Kesan senyuman kita bergantung kepada apakah yang mencetuskannya dari dalaman diri. Adakah ia senyum dari akal, senyuman dari nafsu atau senyuman dari hati yang jujur dan ikhlas? Berbagai ‘jenama’ senyuman yang dapat kita berikan bergantung apa yang mencetuskannya dari dalam diri. ‘Jenama’ senyuman kita ditentukan oleh apa yang ada di dalam akal, nafsu dan hati ketika hujung bibir bergerak.
Senyuman strategi, senyuman yang mengharapkan pulangan lumayan seperti senyum komersil dalam strategi perniagaan. Senyuman gatal, dendam dan sinis pula senyuman yang terzahir dari dorongan nafsu atau emosi negatif. Senyuman begini kesan jangkapendek dan jangkapanjangnya boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini. Senyuman sejati yang menyejukkan hati sesiapa jua yang menerimanya terhasil apabila hati yang jujur.
Senyuman dari akal jatuh ke akal, senyuman nafsu akan merangsang nafsu dan senyuman dari hati yang jujur dan jernih akan jatuh ke hati. Kita bebas memilih senyuman yang mahu diberikan dan dalam masa yang sama kita perlu bertanggungjawab atas pilihan masing-masing. Bertanggungjawablah atas senyuman yang kita berikan!
Senyum strategi
Senyuman yang melimpah (flooding smile), salah satu istilah yang digunakan dalam salah sebuah buku yang saya baca tentang peranan strategi menawan hati pelanggan dengan senyuman. Senyuman diberikan setelah berhadapan supaya penerima merasa bahwa dirinya istimewa dan dirasakan senyuman itu khusus untuknya. Jangan ‘sepah-sepahkan’ senyuman untuk dikutip oleh semua orang kerana senyuman yang begini dianggap senyum yang murah. Mungkinkah senyuman seorang pramugari, senyuman seorang penyambut tetamu di pintu masuk syarikat komersil, senyuman seorang pegawai pemasaran, senyuman seorang jurujual dan yang seumpamanya adalah senyum komersil yang mengharapkan pulangan ekonomi semata-mata? Kita tidak perlu jadi tukang nilai kerana bimbang akan berlaku tidak adil dalam menilai. Apa pun jenama senyuman mereka, mereka lebih tahu isi hati masing-masing...
Senyum nafsu
Senyuman atas dorongan nafsu, satu lagi ‘jenama’ senyuman yang tidak kurang bilangannya. Senyuman seorang playboy atau playgirl –senyuman gatal - semasa mencari mangsa yang entah ke berapa; senyuman sinis yang memandang rendah penuh hina terhadap orang lain juga senyuman dari nafsu yang kurang menyedari bahawa sehebat manapun dirinya, semua itu adalah kurniaan dan amanah dari Allah, bukan untuk merasa bongkak dan sombong sesama manusia. Senyuman dendam, jenis senyuman yang biasa kita lihat dalam drama – senyuman puas apabila berjaya melepaskan dendam terhadap musuh. Semoga jenama-jenama senyum dalam kategori begini bukan datang dari kita... Semoga Allah melindungi kita dari menjadi pemberi senyuman jenis ini. Senyuman jenama ini sering membuahkan permusuhan dan keretakan dalam pergaulan.
Senyum dari hati yang jujur
Senyuman sejati yang menyejukkan mata dan hati datang dari hati...gerakan bibir yang seiring dengan hati yang jujur. Hati yang benar-benar gembira akan melahirkan senyuman yang menggembirakan orang yang melihatnya. Lebih indah daripada itu, adalah senyuman kerana gembira melihat kegembiraan orang lain. Hanya hati yang tidak dikuasai perasaan hasad dengki mampu merasa gembira melihat kegembiraan dan kebahagiaan orang lain. Hati yang dipenuhi kekuatan iman kepada Allah sahaja yang mampu melepaskan diri dari belenggu rasa hasad dengki. Lebih indah lagi, adalah senyuman yang diberikan untuk menggembirakan hati orang lain. Kita tidak akan mampu memberikan apa yang tidak kita miliki. Demikianlah juga, kita tidak akan mampu memberikan senyuman yang menggembirakan jika kita tidak memiliki kegembiraan. Agaknya sebab inilah lebih ramai suka menjadi penerima senyuman daripada menjadi pemberi senyuman. Lebih sukar lagi untuk memberikan senyuman dari hati yang jujur kerana kejujuran itu sendiri sukar untuk kita fahami. Kegembiraan dan kebahagiaan hanya dapat dinikmati oleh hati yang terhubung erat dengan Allah.
Alangkah lemahnya kita sebagai makhluk, untuk memberikan senyuman pun terasa tidak mampu. Namun yakinlah, kita ada Tuhan yang Maha Pemurah tempat kita bergantung segalanya. Dia tempat meminta yang Maha Kaya... Dia Pencipta hati kita... Dialah yang menjadikan kita mampu tersenyum. Maka mintalah dariNya agar senyuman kita menjadi senyuman dari hati yang jujur dan jatuh ke hati manusia lain lalu membuahkan kebaikan, keharmonian dan ukhuwah. Sentiasalah berusaha menjalin hubungan dengan Allah agar kegembiraan dan kebahagiaan memenuhi hati.
Senyuman dari hati yang cintakan Allah
Hati yang sentiasa menyedari bahawa dirinya hamba Allah dalam masa yang sama menyedari bahawa sebagai makhluk bergelar manusia yang menerima amanah khalifah muka bumi pastinya mampu menggerakkan bibir melahirkan senyuman yang paling indah dan jernih sehingga sejuk mata yang memandang senyumannya. Hatinya menggerakkan bibir untuk senyum kepada makhluk lain atas nama cintanya kepada Yang Maha Pencipta. Senyumannya sebagai sedekah yang menggembirakan hamba Allah yang lain. Senyumannya membuahkan ukhuwah berasaskan tauhid sehingga makmur dan harmoni seluruh alam dengan perpaduan sejagat.
Senyuman yang bukan sahaja menghiasi kehidupan di dunia, malah membawa hingga ke syurga dengan penuh bahagia. Marilah kita meminta petunjuk dan hidayah dari Allah agar ‘isi’ senyuman yang kita berikan sentiasa membuahkan bukan sahaja keredhaan manusia tetapi keredhaan Allah. Semoga kemuncak senyum kebahagiaan dan kegembiraan akan dapat kita nikmati ketika bertemu wajah Allah di syurga yang kekal abadi.
Jika senyuman itu ‘senyuman strategi’ dari akal, semoga ia lahir dari akal yang dipenuhi ilmu yang bermenafaat dan membawa dekat kepada Allah, Tuhan yang mencipta senyuman. Jika ia datang dari nafsu, biarlah nafsu yang telah terdidik dan tunduk kepada Allah, di mana kehendaknya tidak lain melainkan untuk mendekatkan hati setiap hati kepada Allah. Senyumlah dengan nama Allah supaya kita tidak perlu bimbang dan risau tentang ‘jenama’ senyuman yang kita berikan...
No comments:
Post a Comment