Monday, May 26, 2008

SENYUM

HADIAHKAN SENYUMAN DARI HATI...

(Terbit dalam majalah Nur Mac 2006)

Antara yang selesa untuk dikenang apabila menaiki pesawat adalah senyuman dari pramugari dan pramugaranya. Hal yang sama apabila disambut dengan senyuman oleh penyambut tetamu di pusat peranginan atau hotel. Terasa kehadiran kita dihargai dan dialu-alukan. Lihat pula senyuman comel seorang bayi yang memberikan kita rasa yang sukar diungkapkan oleh kata-kata. Bayangkan senyuman ibu yang menyambut kita kembali ke kampung halaman setelah lama terpisah.

“Engkau senyum di depan saudaramu adalah sedekah.” Begitu pesan Rasulullah kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari..

Semua orang suka menerima senyuman, namun bukan semua orang mudah memberikan senyuman. Adakalanya amat sukar menggerakkan hujung bibir ke atas untuk menghadiahkan sebuah senyuman. Senyuman sememangnya bahasa universal, tanpa suara dan kata-kata tetapi kita faham bahawa ia membawa mesej persahabatan dan kemesraan. Di sebalik sebuah senyuman, walau hanya gerakan hujung bibir ke atas, tersirat seribu makna dan kekuatan tersendiri serta memberi kesan yang mendalam pergaulan seharian sesama manusia – ia boleh mengukuhkan persahabatan, persaudaraan dan pergaulan seharian dan dalam masa yang sama mungkin boleh menjadi punca keretakan.

Antara Senyum dan Sengih

Tersengih juga terhasil apabila hujung bibir digerakkan ke atas, namun hasilnya berbeza dengan senyuman. Jika senyum menyebabkan kita rasa gembira, sebaliknya sengih menyebabkan kita rasa tak selesa, malah kadang-kadang rasa rimas dan menyampah pula yang timbul. Sengih hanyalah sekadar ‘senyuman kosong’ yang kaku, tidak bermakna atau mungkin boleh digunakan istilah ‘senyuman yang disepah-sepahkan’ kerana tidak dihususkan untuk sesiapa. Sakitnya hati kita bila ada orang mengatakan kita “tersengih-sengih...” atau ‘kerang busuk’ .

Jika daya tarikan sebuah senyuman diumpamakan daya tarikan magnet, maka tersengih adalah umpama mendekatkan hujung magnet pada kutub yang sama – ia menolak antara satu sama lain. Seboleh mungkin, elakkanlah dari tersengih... dan banyakkanlah senyum

Senyum Berisi

Senyuman yang kita berikan kepada orang lain biarlah senyuman yang menggembirakan. Kesan senyuman kita bergantung kepada apakah yang mencetuskannya dari dalaman diri. Adakah ia senyum dari akal, senyuman dari nafsu atau senyuman dari hati yang jujur dan ikhlas? Berbagai ‘jenama’ senyuman yang dapat kita berikan bergantung apa yang mencetuskannya dari dalam diri. ‘Jenama’ senyuman kita ditentukan oleh apa yang ada di dalam akal, nafsu dan hati ketika hujung bibir bergerak.

Senyuman strategi, senyuman yang mengharapkan pulangan lumayan seperti senyum komersil dalam strategi perniagaan. Senyuman gatal, dendam dan sinis pula senyuman yang terzahir dari dorongan nafsu atau emosi negatif. Senyuman begini kesan jangkapendek dan jangkapanjangnya boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini. Senyuman sejati yang menyejukkan hati sesiapa jua yang menerimanya terhasil apabila hati yang jujur.

Senyuman dari akal jatuh ke akal, senyuman nafsu akan merangsang nafsu dan senyuman dari hati yang jujur dan jernih akan jatuh ke hati. Kita bebas memilih senyuman yang mahu diberikan dan dalam masa yang sama kita perlu bertanggungjawab atas pilihan masing-masing. Bertanggungjawablah atas senyuman yang kita berikan!

Senyum strategi

Senyuman yang melimpah (flooding smile), salah satu istilah yang digunakan dalam salah sebuah buku yang saya baca tentang peranan strategi menawan hati pelanggan dengan senyuman. Senyuman diberikan setelah berhadapan supaya penerima merasa bahwa dirinya istimewa dan dirasakan senyuman itu khusus untuknya. Jangan ‘sepah-sepahkan’ senyuman untuk dikutip oleh semua orang kerana senyuman yang begini dianggap senyum yang murah. Mungkinkah senyuman seorang pramugari, senyuman seorang penyambut tetamu di pintu masuk syarikat komersil, senyuman seorang pegawai pemasaran, senyuman seorang jurujual dan yang seumpamanya adalah senyum komersil yang mengharapkan pulangan ekonomi semata-mata? Kita tidak perlu jadi tukang nilai kerana bimbang akan berlaku tidak adil dalam menilai. Apa pun jenama senyuman mereka, mereka lebih tahu isi hati masing-masing...

Senyum nafsu

Senyuman atas dorongan nafsu, satu lagi ‘jenama’ senyuman yang tidak kurang bilangannya. Senyuman seorang playboy atau playgirl –senyuman gatal - semasa mencari mangsa yang entah ke berapa; senyuman sinis yang memandang rendah penuh hina terhadap orang lain juga senyuman dari nafsu yang kurang menyedari bahawa sehebat manapun dirinya, semua itu adalah kurniaan dan amanah dari Allah, bukan untuk merasa bongkak dan sombong sesama manusia. Senyuman dendam, jenis senyuman yang biasa kita lihat dalam drama – senyuman puas apabila berjaya melepaskan dendam terhadap musuh. Semoga jenama-jenama senyum dalam kategori begini bukan datang dari kita... Semoga Allah melindungi kita dari menjadi pemberi senyuman jenis ini. Senyuman jenama ini sering membuahkan permusuhan dan keretakan dalam pergaulan.

Senyum dari hati yang jujur

Senyuman sejati yang menyejukkan mata dan hati datang dari hati...gerakan bibir yang seiring dengan hati yang jujur. Hati yang benar-benar gembira akan melahirkan senyuman yang menggembirakan orang yang melihatnya. Lebih indah daripada itu, adalah senyuman kerana gembira melihat kegembiraan orang lain. Hanya hati yang tidak dikuasai perasaan hasad dengki mampu merasa gembira melihat kegembiraan dan kebahagiaan orang lain. Hati yang dipenuhi kekuatan iman kepada Allah sahaja yang mampu melepaskan diri dari belenggu rasa hasad dengki. Lebih indah lagi, adalah senyuman yang diberikan untuk menggembirakan hati orang lain. Kita tidak akan mampu memberikan apa yang tidak kita miliki. Demikianlah juga, kita tidak akan mampu memberikan senyuman yang menggembirakan jika kita tidak memiliki kegembiraan. Agaknya sebab inilah lebih ramai suka menjadi penerima senyuman daripada menjadi pemberi senyuman. Lebih sukar lagi untuk memberikan senyuman dari hati yang jujur kerana kejujuran itu sendiri sukar untuk kita fahami. Kegembiraan dan kebahagiaan hanya dapat dinikmati oleh hati yang terhubung erat dengan Allah.

Alangkah lemahnya kita sebagai makhluk, untuk memberikan senyuman pun terasa tidak mampu. Namun yakinlah, kita ada Tuhan yang Maha Pemurah tempat kita bergantung segalanya. Dia tempat meminta yang Maha Kaya... Dia Pencipta hati kita... Dialah yang menjadikan kita mampu tersenyum. Maka mintalah dariNya agar senyuman kita menjadi senyuman dari hati yang jujur dan jatuh ke hati manusia lain lalu membuahkan kebaikan, keharmonian dan ukhuwah. Sentiasalah berusaha menjalin hubungan dengan Allah agar kegembiraan dan kebahagiaan memenuhi hati.

Senyuman dari hati yang cintakan Allah

Hati yang sentiasa menyedari bahawa dirinya hamba Allah dalam masa yang sama menyedari bahawa sebagai makhluk bergelar manusia yang menerima amanah khalifah muka bumi pastinya mampu menggerakkan bibir melahirkan senyuman yang paling indah dan jernih sehingga sejuk mata yang memandang senyumannya. Hatinya menggerakkan bibir untuk senyum kepada makhluk lain atas nama cintanya kepada Yang Maha Pencipta. Senyumannya sebagai sedekah yang menggembirakan hamba Allah yang lain. Senyumannya membuahkan ukhuwah berasaskan tauhid sehingga makmur dan harmoni seluruh alam dengan perpaduan sejagat.

Senyuman yang bukan sahaja menghiasi kehidupan di dunia, malah membawa hingga ke syurga dengan penuh bahagia. Marilah kita meminta petunjuk dan hidayah dari Allah agar ‘isi’ senyuman yang kita berikan sentiasa membuahkan bukan sahaja keredhaan manusia tetapi keredhaan Allah. Semoga kemuncak senyum kebahagiaan dan kegembiraan akan dapat kita nikmati ketika bertemu wajah Allah di syurga yang kekal abadi.

Jika senyuman itu ‘senyuman strategi’ dari akal, semoga ia lahir dari akal yang dipenuhi ilmu yang bermenafaat dan membawa dekat kepada Allah, Tuhan yang mencipta senyuman. Jika ia datang dari nafsu, biarlah nafsu yang telah terdidik dan tunduk kepada Allah, di mana kehendaknya tidak lain melainkan untuk mendekatkan hati setiap hati kepada Allah. Senyumlah dengan nama Allah supaya kita tidak perlu bimbang dan risau tentang ‘jenama’ senyuman yang kita berikan...





MENYAMPAH

Berhati-hati bila menyampah...

Terbit dalam majalah Nur Feb 2006

“Ishh! Menyampah tengok muka dia ”

“Menyampah betul buat kerja ni....”

Perasaan menyampah sering melanda kita dan perasaan ini memang tidak selesa. Sukar juga untuk menceritakan rasa ini. Macam nampak sampah, malah lebih teruk dari itu. Meluat, benci, marah, rasa macam nak muntah....berbagai rasa tak selesa yang membentuk rasa menyampah. Nampak muka orang yang kita menyampah, perasaan jadi terganggu. Melakukan kerja yang kita tidak suka, perasaan terganggu. Ia boleh membunuh mood. Bila kita rasa menyampah, yang lebih susah adalah diri sendiri sedangkan orang yang kita menyampah terus hidup seperti biasa. Kerja yang kita tidak suka juga tidak akan selesai. Lebih banyak rugi daripada untungnya. Jadi, jika dilanda rasa menyampah, tindakan bijak ialah merawat rasa menyampah itu, jangan sampai ia membunuh keceriaan. Membiarkannya memusnahkan keceriaan umpama membawa membawa atau mengusung orang atau beban kerja tersebut dalam hati dan fikiran. Ia akan mengikut ikut kita ke mana-mana.

Sampah di minda dan hati

Untuk memudahkan kita menanggapi masalah ini, saya suka mengaitkan rasa menyampah ini dengan sampah. Sampah ialah benda yang telah kehilangan fungsi asal. Apa yang kita panggil ‘sampah’ hari ini, suatu masa dahulu kita panggil dengan berbagai nama dan kita menyimpannya atas berbagai kegunaan khusus. Kertas pembalut makanan pernah berjasa melindungi makanan yang kita makan dari kekotoran supaya makanan tersebut tidak membahayakan kesihatan kita. Setelah habis fungsinya, ia pun bernama sampah. Suatu masa dahulu apa yang kita panggil ‘bunga’ menjadi perhiasan yang menyejukkan mata memandang tetapi akhirnya apabila telah layu ia dibuang dan dipanggil sampah. Dalam perkataan lain, sampah adalah apa yang ‘tidak berguna’, ‘kotor’ atau ‘menyemakkan’ di mata kita. Tempat yang layak untuk sampah ialah dalam tong sampah.

Apabila kita menyampah kepada seseorang, sedar atau tidak, minda dan hati kita melabelkan orang itu sebagai ‘kotor’, ‘tak berguna atau ‘menyemak’. Apabila dia dianggap tak berguna, maka kita pun memasukkan dia dalam ‘tong sampah’ minda dan hati. semakin ramai orang atau perkara yang kita menyampah, hakikatnya kita menjadikan minda dan hati kita sebagai tong sampah besar! Andai dibiarkan minda dan hati akan ‘reput’ dan busuk sehingga menutup atau menenggelamkan perasaan positif yang lain. Sebab itu, bila kita menyampah terhadap seseorang, kita buta kepada kebaikannya dan jasanya dilupakan begitu saja!

Mengapa kita biarkan rasa ini dalam minda dan hati sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Pencipta segalanya mencipta setiap sesuatu ada sebab dan peranan tertentu. Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia!

Letakkan di tempat yang wajar

Ada pepatah yang mengatakan dirt are not dirt – only matter in the wrong place. Suatu yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak berguna’ boleh menjadi bermenafaat dan berfaedah andai di letakkan diletakkan pada tempatnya. Najis yang menjijikkan sekalipun, andai diletakkan ditanah pertanian menjadi baja menyuburkan hasil tanaman.

Dalam soal persahabatan dan perhubungan, adakalanya kita paling banyak belajar tentang hakikat kehidupan dari orang yang paling kita. Ingat lagi semasa kanak-kanak betapa menyampahnya kita apabila dileter oleh ibu dan ayah kerana melakukan kesalahan? Renung kembali denda yang dikenakan oleh guru apabila kita melakukan kesilapan di sekolah. Kenang kembali menyampahnya kita apabila mula-mula belajar mengikat tali kasut ke sekolah sehingga ada di antara kita menyerahkan tugas mengikat tali kasut kepada ibu yang selalu ‘berleter’. Adakalanya rasa menyampah melanda apabila rasa terkongkong dengan peraturan dan hukum agama. Bukankah semua itu membawa kesan baik kepada siapa kita hari ini?

Begitulah apa yang kita menyampah hari ini mungkin adalah ‘baja’ yang akan menjadikan kita manusia yang lebih baik dan lebih sabar untuk menghadapi masa depan. Setiap kali rasa menyampah, bayangkan dalam minda dan hati bagaimana orang berkenaan atau pekerjaan itu menyumbang kepada masa depan kita. Masa depan yang bukan sahaja di hari tua, malah masa depan yang lebih jauh iaitu kehidupan selepas mati... di akhirat yang kekal abadi.

Kenapa menyampah?

Renungkan siapakah orang yang kita menyampah melihatnya. Perhatikan dengan jujur, adakah orang lain juga menyampah terhadap orang ini? Renungkan juga apakah perkara-perkara yang kita menyampah melakukannya. Perhatikan dengan jujur, adakah orang lain juga menyampah terhadap pekerjaan ini? Adakah sebab yang wajar untuk kita menyampah melihatnya?

Kadang-kadang kita menyampah semata-mata kerana tidak suka caranya bercakap, tak suka dengan caranya berpakaian, tak suka dengan apa yang kita anggap sebagai gaya ‘mengada-ngada’nya. Adakah kerana dia pernah ‘merebut’ orang yang kita minati? Atau kerana dia tidak melayan kita tetapi melayan orang lain? Malah adakalanya kita tidak tahu sebab kenapa kita menyampah kepadanya. Entah-entah kita irihati dengan apa yang dimilikinya!

Berhati-hatilah kerana mungkin dia adalah orang yang dihantar oleh Allah untuk membawa banyak kebaikan dalam hidup kita. Entah-entah dialah orang yang paling mengambil berat tentang kita tetapi kita melihat dan melayannya hanya sebagai ‘sampah’ dek kerana rasa menyampah yang melulu... Ketika zaman perjuangan awal Rasulullah membawa Islam yang menjadi rahmat untuk seluruh alam, orang-orang yang sombong dan bongkak sangat menyampah melihatnya.

Berhati-hatilah apabila menyampah terhadap suatu pekerjaan kerana siapa tahu, pekerjaan itulah yang menjadi punca kejayaan hidup kita. Ketika Rasul-rasul menyeru manusia supaya meyembah Allah, ramai yang menyampah sedangkan itulah amalan yang menyelamatkan mereka dari siksaan dunia dan akhirat.

Manusia sentiasa perlu memerlukan orang lain

Tidak ada suatu pun yang dijadikan oleh Allah sia-sia.. Allah yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui bermaksud baik apabila memberikan kita sahabat, keluarga, rakan kerja, jiran dan siapa jua yang berkaitan dengan hidup kita. Sebagai makhluk, apa pun kelebihan dan kepandaian yang kita miliki, sehebat mana pun diri kita, kita tetap perlukan orang lain. Kita sebagai makhluk diciptakan tidak sempurna dan perlukan orang lain untuk melengkapkan kekurangan yang ada.

Yang sempurna dan tak perlukan apa-apa dari pihak lain hanya Allah. Manusia bolah saja dipandang ‘kotor’, ‘tak berguna’ dan ‘menyemak’ dalam pandangan Allah. Manusia sentiasa kotor dengan dosa, tak bertanggungjawab dalam menunaikan tugas khalifah dan hamba di muka bumi dan ‘menyemakkan’ muka bumi dengan segala kerenahnya, namun DIA yang Maha Agung tetap mengiktiraf manusia sebagai makhluk paling mulia. DIA tetap melimpahkan keampunan yang tak bertepi. Dia terus memberikan amanah dan kekuatan kepada manusia untuk terus menguruskan muka bumi ini. Dia terus memandang manusia dengan pandangan Ar Rahman dan Ar Rahim – kasih sayang tanpa syarat dari Tuhan yang Maha Agung untuk makhluk yang serba hina dan lemah.

Hadiahkan Doa Dengan Penuh Kasih Sayang

Seperti perasaan negatif yang lain, memang bukan mudah untuk mengikis rasa menyampah dalam sekelip mata. Bergantunglah kepada Allah. Dia pernah menciptakan kita dari tiada kepada ada. Dia juga yang menciptakan hati yang merasa dan akal yang berfikir. Maka semudah itu jugalah Dia membantu kita menangani rasa menyampah ini.

Berdoalah untuk diri sendiri supaya perasaan kita sentiasa terpelihara. Doakan juga orang yang kita menyampah dengan penuh kejujuran. Adakalanya dalam kita mendoakan orang lain pun, tanpa sedar kita masih membawa perasaan menyampah tersebut. Contohnya, kita mendoakan “Ya Allah, lembutkanlah hatinya...” secara tak sedar secara muktamad kita melihatnya sebagai seorang yang keras hati dan lupa ada kemungkinan yang keras hati sebenarnya adalah diri kita sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengatakan doa terseut salah, tetapi sekadar untuk renungan betapa dalam doa yang paling indah pun kita masih terpenjara dalam persepsi yang negatif tentang diri orang lain. “Ya Allah, semoga dia akan berubah...” adalah doa yang baik dan indah untuk orang lain. Namun secara halus, ia menggambarkan persepsi bahawa orang yang didoakan itu perlu berubah sehingga si tukang doa mungkin terlupa bahawa dirinya lebih perlu berubah.

Berdoalah dengan penuh rendah hati, penuh kasih sayang dan kesenian, untuk diri sendiri dan juga untuk orang lain. Doa yang jujur, penuh kerendahan hati dan kasih sayang akan sampai ke hati orang lain seperti gelombang radio yang terpancar melalui ruang udara ke setiap radio yang terpasang. Dengan izin Allah, akan tumbuh rasa keserasian antara hati yang terikat dengan kasih sayang kerana Allah.

Semoga dengan adanya hubungan hati melalui hadiah doa, suasana pergaulan kita akan lebih indah dan harmoni – bersih dari rasa menyampah antara satu sama lain. Apabila kita berada di persekitaran yang harmoni, apa juga pekerjaan yang kita lakukan, dapat dilakukan dengan ceria tanpa rasa menyampah.


Friday, May 23, 2008

CINTA KERANA ALLAH

CINTA KERANA ALLAH

(Terbit dalam Majalah Nur, Februari 2007, pg 74-76)

“Kahwin kerana Allah, bukan kerana nafsu…macam mana tu, kak? Realitinya wujudkah keadaan macam ni?” Menarik juga persoalan yang masuk ke dalam mesej pesanan ringkas saya dan saya ingin berkongsi pendapat tentangnya dengan pembaca Nur.

Isu ini cukup menarik dibincangkan terutama sempena bulan Februari , apabila seluruh dunia menyebut tentang Hari Valentine atau Hari Kasih Sayang yang jatuhnya pada tanggal 14 Februari. Walau apapun , Februari atau tidak, menyambut Hari Kasih Sayang atau tidak, isu cinta, kasih sayang dan perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang jaman.

Persoalan cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa ”dicemari” nafsu adalah konsep ideal, indah serta menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin sekali dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu mempraktikkan atau merealisasikannya dalam kehidupan seharian.

Akal sering tersilap menilai dan mata lahir sering pula tertipu. Garis pemisah antara niat ”kerana Allah” dan ”kerana nafsu” dalam proses membuat keputusan untuk bernikah, sama ada ”cinta sebelum nikah” atau ”cinta selepas nikah” begitu kabur kerana ia adalah ”soal hati” yang sukar dijangkau akal biasa dan mata lahir.

RUMAH TANGGA, RUMAH DAN BILIK AIR

Istilah ”rumah tangga” menggambarkan rumah beserta keluarga yang menghuninya. Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak banyak maknanya tanpa manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat berlindung, walaupun rumah itu kecil atau daif, pasti tidak lengkap dan sempurna.

Rumah adalah keperluan untuk perlindungan daripada hujan dan panas, tempat istirahat fizikal, fikiran dan juga perasaan. Dalam rumah terdapat beberapa bilik tidur, dapur, serambi, ruang tetamu, bilik bacaan, bilik air dan beberapa bahagian tambahan yang lain. Sedar atau tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat kritikal dalam sebuah rumah.

Bilik air mungkin tidak ”popular” dan bukan pilihan utama untuk dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia menjadi resah dan tidak selesa tanpa ”mengunjunginya”. Kelegaan yang dirasakan selepas qada hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang digemari dalam rumah tersebut.

ANTARA MEMBINA RUMAH DAN MEMBINA BILIK AIR

Saya suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai metafora untuk menggambarkan rumah tangga yang didirikan atas niat ”kerana Allah” atau ”kerana nafsu”. Ketika membina rumah, hasrat utama adalah untuk memiliki tempat berlindung daripada hujan dan panas, supaya keluarga dapat hidup dengan selesa.

Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumah tangga yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang tidak kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya membangun bilik air semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan. Metafora inilah yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara kahwin ”kerana Allah” dengan ”kerana nafsu”.

Jika bilik air sebagai niat utama, ini ibarat kahwin ”kerana nafsu”. Jika demikian maka pembinaan ”rumah” itu adalah semata-mata untuk buang air. Sebaliknya, jika niat utama adalah membina sebuah rumah yang lengkap dengan semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat kahwin ”karena Allah”. Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah pelengkap kepada keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan. Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.

Tambahan lagi, manusia tidak membina rumah bermula dengan membina bilik air, tetapi dimulai dengan asas atau foundation yang kukuh, lantai, dinding dan bahagian2 utama. Begitu juga dengan pembinaan rumah tangga – ia mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya tidak mudah runtuh. Misi dan visi pembinaan rumah tangga seharusnya diambil kira sejak dalam proses memilih pasangan.

MISI DAN VISI PERKAHWINAN

Ikatan perkahwinan merupakan ikatan antara dua manusia berbeza jantina. Maka semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi penciptaan manusia itu sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Selaras dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi perkahwinan adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai ”team work” melaksanakan misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah asas paling kukuh dan niat yang paling murni ”kerana Allah”.

Ini bermakna perkahwinan adalah suatu tanggung jawab. Untuk memikul pertanggungjawaban sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai rintangan, halangan dan beban yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai pengikat antara suami, isteri, anak2 dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah dari Allah yang Ar-Rahman dan Ar-Rahim kepada hamba2-Nya. Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan beban yang terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara pasangan dapat diredakan dengan kemaafan.

Ekspresi kasih sayang antara manusia terluah dalam banyak bentuk, termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan melalui akad ijab dan kabul. Persepsi ”nafsu” dalam kefahaman kebanyakan manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta isu2 yang berkaitan dengannya. Dengan lafadz akad nikah, ekspresi kasih sayang dalam bentuk hubungan seksual yang dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah sebagai ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual menyandang label jijik, kotor dan hina.

KERANA ALLAH – MERUJUK KEPADA PERATURAN-NYA

Niat ”kerana Allah” dalam percintaan dan perkahwinan direalisasikan dengan merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT di setiap peringkat prosesnya. Keredaan Allah sebagai asas ketika memilih pasangan untuk membentuk team work rumah tangga, patuhi segala suruhan dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek memenuhi tuntutan fitrah keperluan seksual.

Khalifah2 dan hamba2 Allah yang lahir dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi manusia yang berfungsi memakmurkan bumi, bukan peosak muka bumi.

PENCEMARAN DALAM NIAT

Niat ”kerana nafsu” digambarkan oleh keadaan perkahwinan adalah semata2 untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar tdk sedar, niat ”menghalalkan” hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih sayang secara lahiriah kelihatan begitu ”murni”. Ya, sememangnya itu tidak salah, namun jika semata2 kerana itu, ibarat membina rumah tangga bermula dengan membina bilik air sebagai asas utama. Bagaimanapun, sekurang2nya ada juga peraturan Allah yang diambil kira.

Rumah tangga begini tidak akan kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akan terkubur begitu sahaja. Persoalan tanggung jawab dengan mudah akan diketepikan. Kebahagiaannya tidak berpanjangan. Rumah tangga akan selalu bermandikan pergaduhan dan konflik. Anak2 yang lahir dalam suasana ini tidak berkembang menjadi khalifah dan hamba Allah yang berfungsi untuk memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi generasi perosak bumi. Kesudahannya, bukan syurga di akhirat malah kesengsaraannya bermula di dunia lagi.

KERANA NAFSU SEMATA – MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH

Ekspresi cinta dan kasih sayang atas dorongan nafsu semata2 tergambar dalam kehidupan seharian ketika peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum syarak diketepikan, sehingga andai berlaku pertembungan antara hukum Allah dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan dan tuntutan nafsu dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah, inilah gambaran niat semata2 ”kerana nafsu”. Anugerah cinta dan kasih sayang Ar-Rahman dan Ar-Rahim dikhianati denagn ekspresi dalam bentuk zina.

Sifat Maha Pengampun Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu.

Allah faham... kan Dia yang ciptakan kita. Lagipun Allah kan Maha Pengampun...” demikian kata2 yang lahir dari dorongan nafsu yang bertopengkan nama Allah.

Peluang taubat dieksploitasi semahu2nya sehingga terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh nafsu, syurga dan neraka seolah2 tidak wujud.

Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta nafsu semata2.

DESTINASI AKHIR EKSPRESI CINTA

Stesen terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumah tangga adalah syurga yang kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu adalah neraka yang penuh seksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang diberikan selendang sebagai khalifah.

Allah sediakan syurga untuk menusia tinggal dan Dia ciptakan neraka sebagai peringatan bahwa ada risiko menanti jika manusia memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka juga berlaku dalam soal ekspresi cinta dan kasih sayang. Semoga Allah memimpin dan memberi taufik hidayah untuk kita menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

TANGGUNGJAWAB

TANGGUNGJAWABMulakan Pada Diri Sendiri
Terbit dalam majalah Nur Sept 2005

Eleh.... bos tu kerja dia sign surat jer. Yang penat buat kerja, kita.”

Demikian antara rungutan sebahagian kakitangan. Benarkah kerja menandatangani surat, terutama bagi pihak syarikat itu kerja mudah? Masa mencipta tandatangan sendiri, tertanya-tanya juga masa tu apa perlunya tandatangan... malah di suatu tahap apabila banyak yang perlu ditandatangani, dicipta pula tandatangan ‘pendek’.
Tandatangan adalah lambang pertanggungjawaban. Jika ada persoalan berbangkit yang timbul, tuan punya tandatanganlah yang akan menanggung risiko dan menjawab segala persoalan tersebut. Mungkin dari istilah ‘tanggung’ dan ‘jawab’, terhasillah perkataan ‘tanggungjawab’. Wallahu alam...

Sikap bertanggungjawab adalah sikap yang dihormati tidak kira sebagai pemimpin, ketua, pengikut, kakitangan bawahan, suami, isteri, anak-anak, malah setiap manusia perlu mempunyai sikap bertanggungjawab. Di hari Mahsyar, setiap tanggungjawab akan dinilai. Seorang suami bertanggungjawab atas isteri dan anak-anak; seorang pemimpin akan ditanya soal kepimpinannya; dan demikianlah seterusnya. Selagi kita bernama manusia, kita tidak terlepas dari tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah di mukabumi.

Tidak menyalahkan orang lain atau keadaan
Pokok pangkal sifat bertanggungjawab ialah tidak menyalahkan orang lain apabila berlaku perkara yang sepatutnya dibawah pengendalian kita. Namun, menyalahkan orang lain atau keadaan adalah lumrah yang berlaku apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini. Misalnya, bila bahagian pemasaran tidak mencapai jangkaan, pasti staf-staf akan menjadi mangsa kemarahan Ketua Jabatan Pemasaran kerana nantinya dia sendiri akan dipersoalkan semasa mesyuarat pengurusan. Apabila putus cinta, yang salah adalah orang ketiga atau pasangannya. Bila berlaku masalah sosial, kerajaan, pihak guru atau sekolah, media massa, ibubapa, masyarakat sekeliling... semua saling salah menyalahkan. Yang tidak bersalah ialah pihak yang sedang membuat komen! Demikian jugalah senarionya dengan isu-isu lain.

Diri kita tanggungjawab kita
Ada pepatah mengatakan ‘jika setiap orang membersihkan halaman rumah masing-masing, seluruh negara akan bersih.’ Banyak masalah boleh diminimakan jika setiap individu bermula dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh dedikasi. Jika setiap manusia menjalankan tanggungjawab masing-masing pasti dunia ini akan aman, damai dan harmoni untuk dihuni. Suami menjalankan tanggungjawab terhadap isteri, isteri menunaikan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak, pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyat, majikan bertanggungjawb terhadap pekerja, pekerja menjalankan tanggungjawab terhadap majikan dan seterusnya.

Jika gagal dalam usaha, tumpukan kepada mencari di mana kita tersilap langkah supaya boleh diperbaiki – bukannya menuding jari dan menuduh orang lain yang telah ‘mensabotaj’ usaha kita. Kita bertanggungjawab terhadap kejayaan diri sendiri. Bila rumahtangga retak, yang utama ialah merenung ‘sumbangan’ kita terhadap keretakan tersebut. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kita bertanggungjawab terhadap kebahagiaan diri sendiri.

Menuding jari kepada orang lain atas peritiwa yang tidak dingini umpama memberikan kuasa kepada orang lain untuk menentukan perjalanan hidup kita seperti sebuah televisyen yang alat kawalan jauh atau remote control berada di tangan penonton. Inilah adalah sikap tidak ber-‘tanggung’-‘jawab’. Sikap ini tidak akan membawa kita ke mana-mana melainkan kegagalan dan kemurungan berpanjangan.

Remote control di tangan orang lain
Bayangkan jika remote control diri kita dikawal oleh orang lain... bila ditekan ‘rangkaian marah’, kita jadi marah; bila ditekan ‘rangkaian sedih’ kita jadi sedih; bila ditekan ‘rangkaian gagal’ kita kecewa kerana tidak bejaya mencapai harapan. Beginilah keadaan orang yang menyerahkan remote control hidupnya kepada orang lain dengan mengambil sikap tidak bertanggungjawab.

Bila remote control diri berada di tangan orang lain, kita menjadi manusia yang tidak berupaya, gagal, murung, sukar didekati dan seterusnya sukar mencari tempat di tengah masyarakat. Kehadiran atau ketiadaan kita di tengah manusia ramai tidak memberi apa-apa makna. Lebih parah lagi, jika menjadi sampah masyarakat. Inilah risiko dari sikap tidak bertanggungjawab.

Kebahagiaan kita tanggungjawab kita
Perkara utama yang menyebabkan kebahagiaan manusia ialah kasih sayang. Tidak peliklah jika sifat Ar Rahman dan Ar Rahim yang bermakna kasih sayang merupakan nama Allah atau Asma’ul Husna yang paling banyak disebut di dalam Al Qur’an. Tuhan Maha Adil dalam memberikan kasih sayang kepada seluruh makhluk-Nya. Namun mengapa ada yang merasakan dirinya sunyi dan ketandusan kasih sayang? Tuhan tidak pernah silap, yang silap atau salah adalah diri kita sendiri.

Seorang yang bertanggungjawab ke atas kebahagiaan diri sendiri tidak akan menyalahkan sesiapa, malah merenung jauh ke dalam diri sendiri apa yang perlu dilakukan. Jika tanggungjawab membahagiakan diri sendiri diserahkan kepada orang lain, mana mungkin kebahagiaan itu dimiliki sepenuhnya kerana mereka juga makhluk yang lemah seperti kita. Ambillah tanggungjawab membahagiakan diri sendiri sepenuhnya dengan memohon kasih sayang dari pemilik sifat kasih sayang, iaitu Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim. Fokuskan usaha untuk mengenal Allah, mempelajari ilmu tentang kunci kebahagiaan yang ditetapkan oleh Pemilik Kebahagiaan hakiki. Serahkan remote control di dalam pengendalian takdir Ilahi, berusahalah menurut ketetapan hukum-Nya – pasti kita akan bahagia!

Kejayaan kita tanggungjawab kita
Semua manusia ingin berjaya bukan sahaja kejayaan dunia tetapi juga kejayaan akhirat. Allah juga maha adil dalam memberikan kejayaan kepada setiap hamba-Nya di bidang masing-masing. Tanggungjawab kita adalah berusaha. Jangan sekali-kali serahkan kunci kejayaan di tangan orang lain kerana jika gagal, orang itu akan dipersalahkan.

Allah telah menyediakan segala khazanah di langit dan bumi untuk manusia berusaha... maka jika gagal, buatlah penilaian atau post-mortem di mana silapnya strategi perancangan dan aplikasinya. Tuhan tidak pernah mentakdirkan kegagalan hamba-Nya, malah awal pembentukan manusia di rahim ibu adalah kejayaan besar sperma merentasi perjalanan jauh untuk sampai kepada ovum sehingga terbentuklah janin kita di dalam rahim. Teruskanlah kejayaan demi kejayaan seterusnya, berusahalah, dan serahkanlah kunci kejayaan kepada Dia yang Maha Berkuasa.

Menyalahkan Tuhan - kemuncak sikap tidak bertanggungjawab
Menyalahkan keadaan atau menyalahkan keadaan adalah intipati sikap tidak bertanggungjawab. Jika sikap ini terus menjadi amalan, di suatu peringkat pasti manusia yang tidak bertanggungjawab akan menyalahkan Tuhan atas ketentuan takdir-Nya. Risiko terbesar yang perlu ‘ditanggung’ dan akan ‘dijawab’ akan berlangsung di Padang Mahsyar apabila penilaian amal dijalankan. Hasilnya ialah penderitaan dan kegagalan hakiki yang tidak mampu ditanggung oleh manusia di dalam Neraka. Semoga Allah melindungi kita dari siksaan sedemikian.

Di saat pengiraan amal, sikap tidak bertanggungjawab terakhir yang dilakukan oleh manusia ialah menyalahkan syaitan atas kederhakaan dirinya kepada Allah! Malangnya, syaitan dan Iblis berlepas tangan dan mengatakan manusia mengikutnya atas kerelaan sendiri – bukan dipaksa. Alangkah besar penyesalan ketika itu...

Allah sumber kekuatan untuk bertanggungjawab
Sebagai makhluk, memang kita serba lemah. Namun kita ada Tuhan yang Maha Gagah sebagai tempat bergantung. Maka laksanakanlah setiap tanggungjawab dari yang sekecil-kecilnya sehingga yang terbesar dengan memohon kekuatan dari Allah yang Maha Gagah.

Setiap kali kita menandatangi apa jua dokumen, setiap kali kita melakukan sesuatu, lakukanlah dengan penuh tanggungjawab. Elakkan menyalahkan keadaan ataupun menyalahkan orang lain. Semailah kasih sayang dan ukhuwah sesama manusia atas nama Ar Rahman dan Ar Rahim agar dapat berganding bahu dan tolong menolong dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Sebelum mahkamah Mahsyar bersidang, mulakan langkah di dunia agar kita dapat menjawab setiap persoalan atas tanggungjawab di dunia. Tanggunglah setiap amanah kerana kita pasti akan diminta untuk menjawabnya di akhirat kelak... Tuhan telah menyerahkan remote control di tangan kita, kenapa mesti diserahkan kepada orang lain?




GRAVITI HATI

GRAVITI HATI – daya tarikan hakiki

Terbit dalam majalah Nur November 2005



“Kenapa semua orang tinggalkan saya. Apa salah saya.....?”

‘Kami sekarang umpama retak menanti belah...”

Memiliki ramai kawan, sahabat dan orang-orang terdekat adalah antara perkara yang disenangi oleh setiap manusia. Dunia terasa sunyi tanpa orang-orang untuk disayangi dan menyayangi. Namun berapa banyak keluhan seperti yang disebut di atas, sama ada terluncur dari mulut ataupun setakat keluhan di dalam hati. Saya pernah menerima pesanan sms yang berbunyi “A lot of people will walk in and out of your life, but only true friends will leave footprints in your hearts...” Ya!Benar. Memang ramai orang yang datang dan pergi dalam hidup kita, tetapi hanya sahabat sejati yang meninggalkan kesan di hati kita. Banyak perhubungan terjalin, ada yang berkekalan dan tidak kurang yang putus di tengah jalan. Kita bergerak setiap hari dalam arus manusia, namun berapa ramai yang ‘bermakna’ bagi kita? Ada orang yang di depan mata, tapi bukan siapa-siapa bagi kita. Ada yang jauh dipisahkan benua, tetapi kita berusaha sedaya upaya untuk terus berhubung. Semacam ada satu daya tarikan antara orang-orang tertentu sehingga berlaku ikatan atas berbagai label dan nama – persahabatan, kepimpinan, kepengikutan, kekeluargaan, kerakyatan dan sebagainya.

Daya Tarikan Di Seluruh Alam Semesta
Daya tarikan dalam perhubungan antara manusia suatu yang sangat kompleks. Mari kita lihat alam semesta. Semoga darinya kita dimudahkan untuk memahami daya tarikan antara manusia. Mula-mula, graviti bumi. Kehidupan di mukabumi menjadi selesa dengan adanya graviti yang cukup kuat untuk ‘memegang’ benda-benda agar tidak melayang-layang atau terapung-apung di udara. Bayangkan kalau kita tinggal di bulan yang gravitinya sangat kurang... Bagaimana pula keadaannya kalau graviti bumi terlalu kuat sehingga sukar kita mengangkat kaki untuk berjalan.

Ingat lagi eksperimen mudah sewaktu zaman sekolah, bagaimana daun tumbuhan bergerak mencari sumber cahaya? Akarnya bergerak ke dalam tanah mencari sumber baja. Air mengalir dari tempat tinggi ke tempat rendah. Semuanya ada kaitan dengan ‘daya tarikan’.

Penyelidikan mutakhir mendapati adanya daya tarikan antara seluruh semesta (bintang-bintang, matahari, bulan, planet dan yang lainnya) semuanya bergerak dalam paksi tersendiri secara stabil tanpa perlanggaran antara satu sama lain. Malah dikatakan seluruh semesta ini tertarik ke satu pusat tarikan paling kuat disebut ‘Black Hole’.

Maha Suci Allah yang menciptakan segalanya dengan Maha Bijaksana.

Tak Dilihat Oleh Mata, Tapi Dirasai oleh Indera

Daya tarikan terbukti wujud... tanpa dilihat oleh mata lahir, tetapi dirasai oleh seluruh indera kita. Menyedari wujudnya daya tarikan di seluruh alam jagat, saya ingin menarik fokus kepada persoalan apakah daya tarikan paling bermakna antara manusia dari perspektif yang jarang diperkatakan umum, sekadar menjadi renungan bersama. Lebih khusus lagi, apakah daya tarikan paling bermakna antara manusia yang dilantik Allah sebagai pemakmur alam, memikul amanah sebagai khalifah dan hamba dimuka bumi milik Allah ini?

Soal hati
Perhubungan adalah soal hati. Apa juga perhubungan yang ‘bermakna’ di antara manusia adalah soal hati, tidak kira bagaimana ia tercetus. Tutup mata dan bayangkan orang-orang yang bermakna dalam hidup kita... pasti ada ‘rasa’ yang hanya kita sendiri memahami. Lihat pula kelompok manusia ramai dalam mana-mana perhimpunan umum yang tidak ada apa-apa hubungan dalam hidup kita. Apa yang dirasakan? Tentu tidak sama dengan membayangkan orang-orang yang ada ‘hubungan’ dengan kita. Soal ‘rasa’ adalah soal hati. Kesan daya tarikannya dirasa bila ada apa yang saya panggil ‘graviti hati’ antara sesama manusia.

Graviti Hati Sesama Manusia
‘Graviti hati’ – inilah yang melahirkan rasa kasih sayang, ukhuwah, persaudaraan sehingga kita dengan sukarela menjadikan orang-orang tertentu begitu istimewa dalam hidup kita. Seluruh fokus hidup kita terarah kepadanya. Apa yang mereka lakukan begitu memberi kesan terhadap perasaan kita. Sedih dan gembira; marah dan tenang; rindu dan benci. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan, orang-orang ini seolah-olah menentukan bahagia atau deritanya kehidupan kita.

Soalnya, pasti kita sedari ini adalah perkara yang di luar kemampuan kita untuk mengawalnya. Tak semudah kita memegang bola dan membalingnya. Kenapa? Kerana kita makhluk yang lemah, perlukan kekuatan dari Dia yang Maha Gagah. Segalanya adalah di bawah kekuasaan Allah, Tuhan yang Maha Pencipta dan Pemilik Mutlak seluruh alam

".. DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis.DIAlah yang mematikan dan menghidupkan. DIAlah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan dari air mani apabila dipancarkan..."(An Najm : 43 - 46)
Dialah juga yang menciptaan graviti hati antara hamba-hambaNya. Dia pemilik seluruh graviti yang wujud...

Kemerdekaan Menguruskan Graviti Hati
Sebagai makhluk yang dilantik memegang amanah khalifah pentadbir mukabumi dengan pendekatan sebagai ‘hamba’ yang mesti tunduk kepada peraturan syariat-Nya, kita diberi kebebasan untuk menyubur atau meracuni graviti hati yang mengikat atau meretakkan hubungan antara kita. Dia memberi kita kebebasan untuk menyubur atau meracuni graviti hati sesama kita, kebebasan yang tidak diberi kepada bumi,bulan, bintang, matahari, gunung ganang dan makhluk yang lain.

Kita adalah makhluk dan hamba yang tidak berdaya, namun kita ada Dia yang Maha Gagah! Maka untuk menangani ‘soal graviti’ ini, mintalah kekuatan dariNya.

Suburkan graviti hati kepada Allah
Pilihan paling bijak adalah pastikan graviti hati kita lebih kuat terikat kepada Dia yang empunya seluruh alam supaya apa jua yang cuba menjauhkan kita dari orang-orang yang bermakna dalam hidup kita, ‘kejauhan’ itu akan dapat ‘ditampung’ dengan kekuatan graviti antara hati kita dengan Dia yang Maha Tinggi!

Daya tarikan terhadap fizikal, terhadap wang ringgit, terhadap anak-anak, pasangan, sahabat handai semuanya tidak sekuat graviti antara hati yang menjadi pusat rasa. Namun tidak akan ada satu kuasa pun yang berdaya melemahkan graviti yang kita suburkan terhadap Allah. Bila kita menjadikan Allah sebagai pusat graviti hati, maka terpeliharalah segala jenis graviti yang lain di bawah satu ikatan yang paling puncak... ikatan tauhid. Graviti antara hati yang diikat oleh ikatan akidah.

Ikatan perhubungan paling kukuh
Siapa yang lebih menyayangi? Siapa yang daya tarikan hatinya kepada Tuhan paling kukuh, maka dialah yang paling berdaya untuk menyayangi orang lain. Betapa tidak, kerana ikatan hati yang berteraskan daya tarikan kepada zat Yang Maha Agung mampu mengatasi apa juga daya lain yang cuba memisahkan. Kasih sayang tanpa syarat hanya yang berasaskan kekuatan hubungan hati kepada pencipta – DIA yang mecipta orang-orang yang bermakna dalam hati kita.


Iblis Dan Syaitan, Pemecah ‘Graviti’ Antara Hamba & Tuhan
Makhluk yang tidak pernah putus asa dari dahulu, kini dan sehingga kiamat, untuk memutuskan daya tarikan teragung antara manusia dan Tuhan adalah Iblis dan syaitan – atas nama ego dan kesombongan. Makhluk terkutuk ini menggunakan segala pendekatan licik untuk melemahkan graviti antara manusia dengan Tuhan agar dia mendapat seramai-ramainya ‘kawan-kawan’ di dalam neraka sejak tercetusnya ‘konflik’ antaranya dengan Nabi Adam di syurga dahulu.. Hanya Allah yang mampu memberi kita kekuatan untuk berhadapan dengan makhluk ini.

Kasih Sayang Tanpa Syarat
Maka jika terasa seolah-olah semua orang ‘lari’ dari kita, bila ukhuwah terasa mula retak, bila rumahtangga semakin berkocak, apabila persahabatan menuju noktah, renungilah hal ini. Langkah pertama yang paling penting adalah pastikan graviti hati kita tarikan utamanya adalah kepada Allah. Graviti antara hati yang sama-sama ditarik ke arah Tuhan yang Maha Esa tidak akan putus, malah mampu merentas alam ke alam hingga berjaya menduduki syurga di aklhirat di mana Tuhan sendiri menampakkan diriNYA kepada penghuni syurga.

Inilah resepi utama yang memberi kuasa graviti paling ampuh antara hati kita sehingga tidak lagi retak atau pecah sepanjang kita menghadapi apa jua takdir yang ditetapkan dalam perjalanan melalui alam dunia ke alam syurga tempat asal dan tempat kembali hamba-hamba yang tunduk kepada Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang...
Kasih sayang dan cinta tanpa syarat hanya mampu dimiliki dan diberi oleh hati yang graviti terkuatnya adalah kepada Sang Pencipta graviti itu sendiri... dan jangan biarkan Iblis dan syaitan mengambil peluang untuk melemahkan graviti ini!

Maka kenalilah Tuhan dengan sesungguhnya supaya kita mampu menjadikan Dia sebagai pusat graviti hati kita...

CERDAS SPIRITUAL

CERDAS SPIRITUAL asas kejayaan lahiriah & kebahagiaan hati
Terbit dalam Majalah Nur Disember 2005, Ruangan Aur & Tebing)

Malam tadi ada lembaga berpakaian putih cakap sesuatu pada aku. Lepas tu dia hilang macam tu jer...”
Aku dengar suara tapi tak nampak orangnya. Dia kata.....”

Masa lalu tepi kubur tu, aku terbau benda busuk. Tiba-tiba ada seorang perempuan berambut panjang....”

Pengalaman spiritual sering dikaitkan dengan perkara ‘ghaib’ atau apa yang tidak dapat difahami oleh indera biasa.

Bila dikatakan bahawa di zaman ini ‘orang spiritual’ lebih ramai berada di syarikat-syarikat gergasi daripada di rumah-rumah ibadah, sepeti yang dikatakan oleh Dr. Gay Hendriks dan Dr Kate Ludeman dalam buku The Corporate Mystics, ini sukar diterima akal. Mustahil! Bagaimana mungkin? Tapi inilah hasil penyelidikan mereka selama 25 tahun.

Kita tidak perlu percaya dan meyakini apa yang mereka katakan hasil kajian ini, tetapi tidak ada ruginya memberi peluang kepada diri untuk merenung apa sebenarnya yang dikatakan ‘spiritual’. Apa ruginya meperuntukkan sedikit masa untuk merenung apakah perbezaan antara ‘ritual’ dan ‘spiritual’? Moga-moga dengan ini kita juga akan dapat merasai pengalaman spiritual yang mampu menjana kejayaan lahiriah sekaligus memberi kebahagiaan dan ketenangan hati serta perasaan...dan seterusnya membawa hingga kebahagiaan di kehidupan selepas mati.
Definisi
Spiritus’ adalah Bahasa Latin yang diterjemahkan sebagai ‘breath’ dalam bahasa Inggeris, ‘nafas’ dalam bahasa Melayu. Untuk mengelakkan kekeliruan istilah, kita kekalkan istilah ini sebagai ‘spiritual’. Tony Buzan, dalam bukunya The Power of Spiritual Intelligence berpendapat istilah moden spiritual merujuk kepada ‘tenaga kehidupan’, unsur bukan fizikal yang kena mengena dengan emosi dan keperibadian seorang manusia...yang menyebabkan kita bersemangat menghadapi kehidupan dengan aktif dan ceria.

Cerdas Spiritual – Hidup Bersemangat, Emosi dan Peribadi Stabil

Ringkasnya, seorang yang ‘cerdas spiritual’ hidup penuh semangat, emosi dan peribadinya stabil sehingga mampu melahirkan kejayaan lahiriah sekaligus menikmati kebahagiaan dari kejayaan lahiriah yang dicapainya. Malah andainya kejayaan lahiriah itu tidak dicapai setelah berusaha, kebahagiaan tidak hilang dari hatinya.

Bagaimana pula yang dikatakan cerdas spiritual? Seorang yang cerdas spiritual ialah yang berjaya mencari jawapan dan makna kepada persoalan:
Siapa saya dan dari mana saya datang?”,
Untuk apa saya di sini?” dan
Ke mana selepas ini?”.
Dalam kata yang lain, seorang yang cerdas spiritual sedar secara menyeluruh (big picture) dimana dirinya dalam alam semesta yang luas, apa tujuan berada di sini dan tahu hala tujunya selepas ini. Ia mampu mengaitkan secara sedar jawapan dan makna semua persoalan ini dengan Allah, Tuhan yang mencipta segalanya.

Meminjam istilah bidang kajian saraf, seorang yang cerdas spiritual ialah oang yang God Spot dalam otaknya berfungsi dengan aktif. God Spot? God Spot adalah satu bahagian dalam otak manusia yang didedahkan hasil penemuan oleh V.S Ramachandran di Universiti Caifornia. Bahagian otak ini hanya aktif apabila kita memikirkan tentang Tuhan.

‘Catitan’ Pada ‘God Spot’

Al Quran menceritakan pengakuan manusia dalam surah Al A’raf , ayat 172 ketika Allah bertanya:
Bukankah Aku ini Tuhanmu?”,
maka seluruh manusia mengakuinya dengan jawapan:
“Betul. Kami menjadi saksi.”.
Dalam surah Ad Dzariyat, ayat 56 pula menyatakan peranan manusia untuk beribadah,
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.”

Inilah perjanjian dan pengakuan manusia untuk tunduk dan mengakui hanya Allah sebagai Tuhan. Janji kita ini terpateri dalam God Spot yang menyebabkan fitrah manusia tunduk kepada Tuhan, sentiasa ingin mentaati Tuhan, berbuat sesuatu kerana-Nya serta ingin kembali kepada-Nya. Setiap kali perjanjian ini dicabuli, God Spot menjadi ‘tak aktif’ atau ‘tak selesa’. Maka berlakulah, ketandusan spiritual di mana manusia hidup dalam keadaan tiada matlamat yang benar daan tepat. Tanpa matlamat yang tepat dan benar, manusia terumbang-ambing menrcari-cari bagaimana cara mengisi umurnya di dunia.

Cerdas Spiritual Memberi Pengalaman Spiritual Yang Produktif Dan Membahagiakan

Ketika manusia memahami makna dan menghayati siapa dirinya, untuk apa ia melakukan sesuatu dan ke mana tindakan itu membawanya, inilah pengalaman spiritual yang produktif yang paling membahagiakan. Manusia boleh melalui pengalaman spiritual ketika menekan papan kekunci komputer di pejabat, ketika memasak untuk keluarga, ketika mesyuarat mencari kata putus, ketika membaca, ketika berjalan, ketika duduk, baring, berdiri dan apa juga yang dilakukan.

Kita ambil contoh menekan kekunci komputer semasa di pejabat. Apabila menekan kekunci komputer di pejabat dengan penuh kesedaran bahawa ia dilakukan sebagai hamba Allah yang sedang melaksanakan tanggung jawab; melakukan pekerjaan itu sebagai satu sumbangan kepada makhluk Allah yang lain di samping mencari rezeki halal untuk diri sendiri; menyedari bahawa Allah akan memberi balasan baik sehingga boleh menghuni syurga dan bertemu Allah di sana. Ketika ini, kerja ini dilihat sebagai penghubung antara hamba dengan Tuhan.....akan terasa satu kebahagiaan jauh di sudut hati semasa mengetik setiap huruf pada kekunci komputer sehingga tidak lagi mengenal erti jemu dalam pekerjaan. Demikian juga halnya ketika menyediakan hidangan untuk keluarga, ketika mesyuarat, ketika mencari ilmu dan seterusnya dalam setiap apa yang kita lakukan seharian. Semua aktiviti menjadi ibadah apabila dilakukan dalam keadaan God Spot aktif! Suatu implementasi terhadap janji kita sebagai untuk ‘mengabdi’ Allah.

Antara ritual dan spiritual

Sebaliknya, apabila ibadah khusus yang biasa dilakukan seperti solat, puasa, zakat, haji atau umrah dan seumpamanya dilakukan tanpa kesedaran maka ia tidak akan memberikan pengalaman spiritual yang produktif dan membahagiakan. Solat yang tidak menyebabkan God Spot aktif, tidak dikaitkan secara sedar tentang kedudukan kita sebagai hamba Allah, tidak ada kesedaran bahawa solat adalah penghubung antara hamba dengan Tuhan dan dilakukan pula tanpa matlamat untuk kembali kepada Allah sebagai hamba yang sejati – maka ia hanyalah sebagai ‘adat’ atau ‘ritual’ – bukan ‘ibadat’ yang ada nilai ‘spiritual’. Demikian juga halnya bagi ibadah yang lain. Maka tidak hairanlah jika dikatakan tidak semua orang yang ada di rumah ibadah adalah ‘orang spiritual’ dan ramai ‘orang spiritual’ berada di syarikat-syarikat besar bergantung kepada kecerdasan spiritual masing-masing.
Pengisian Spiritual Tak Terpimpin
Kesedaran tentang perlunya kecerdasan spiritual di abad ini menyebabkan manusia mula kembali kepada kehidupan bertuhan, tidak kurang yang cuba ‘mencipta agama baru’. Antara yang muncul ialah penganut Scientology dan Kabbalah yang berjaya menarik berjuta-juta manusia, termasuk artis-artis terkenal Hollywood, tokoh-tokoh perdagangan dan pemimpin dunia untuk merasai pengalaman spiritual yang menjanjikan kebahagiaan dalam pekerjaan dan juga dalam hati dan perasaan.
Lebih mencabar lagi, ada usaha untuk ‘menyatukan’ semua agama mejadi satu. Organisasi pelatihan dan motivasi seluruh dunia semakin giat menggunakan pendekatan membangun kecerdasan spiritual untuk pelanggan-pelanggannya meningkatkan motivasi diri supaya lebih produktif dan tidak tertekan dengan pekerjaan.

Al Quran - Rujukan Spiritual Paling Benar Dan Tepat
Umat Islam paling bertuah kerana berpegang kepada rujukan paling tepat dalam semua hal termasuk hal memenuhi keperluan spiritual ini. Sekiranya kita tidak benar-benar memahami dan menghayati ajaran Al Qura’an tentang Rukun Iman, Rukun Islam dan segala yang berkaitan dengan asas akidah, arus masa kini boleh menjerumuskan kita dari landasan agama Tauhid yang sebenar.

Spiritual yang tidak berlandaskan tepat dengan ajaran Islam sebenar, hari ini boleh membantu kita menggapai kejayaan material dan ketenangan hati di dunia tetapi tidak membawa kita kepada kebahagiaan di akhirat.

Dalam usaha mengaktifkan God Spot untuk menjana kecerdasan spiritual serta menikmati pengalaman spiritual dalam setiap aktiviti kehidupan, pastikan pegangan kita adalah wahyu yang diturunkan untuk umat akhir zaman – Al Quran. Huraian yang diberikan oleh Rasulullah melalui hadis dan sunnahnya yang seterusnya diperincikan lagi oleh ulama-ulama sebenar. 6 Rukun Iman sebagai asas dan 5 Rukun Islam sebagai amalan.

Hanya spiritual terpimpin dengan Tauhid sebenar mampu membawa kemajuan & kebahagiaan dunia dan akhirat. Segalanya atas nama Allah, atas hubungan paling teguh antara makhluk & khaliq.

Selamat mengaktifkan spiritual dengan Al Quran dan sunnah Rasulullah....